Melahirkan
majikan di kalangan siswazah
Kurang sokongan keluarga, masyarakat jadi
halangan utama
MASALAH hari ini ialah kurangnya mahasiswa, terutama di kalangan Melayu dan
Bumiputera ingin menceburi bidang keusahawanan. Mereka lebih gemar mencari
majikan daripada menjadi majikan.
Mereka lebih rela
berpeluh mencari pekerjaan daripada mencipta pekerjaan untuk diri sendiri
seterusnya memberi pekerjaan untuk orang lain. Mereka lebih gemar mencemuh
kerajaan apabila gagal mendapat pekerjaan. Mereka akan menyalahkan
segala-galanya yang ada di sekeliling, kecuali diri sendiri apabila gagal
mendapat pekerjaan.
Berikutan itu usaha Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan ‘Dasar
Pembangunan Keusahawanan IPT’ seperti diumumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin ketika merasmikan Konvensyen dan Karnival Keusahawanan Siswa IPT
Peringkat Nasional ke-7 di Dataran Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
baru-baru ini, perlu diberi perhatian.
Enam Teras Strategik dikenal pasti sebagai usaha bersepadu dengan matlamat
melahirkan majikan di kalangan siswazah. Satu perkara penting apabila sesuatu
program atau dasar keusahawanan, terutama membabitkan mahasiswa dan siswazah
dilaksanakan ialah perlu mempunyai matlamat jelas.
Dasar keusahawanan ini harus jelas menyatakan kita ingin melahirkan usahawan
sebenar. Sekarang banyak orang mengaku mempunyai nilai keusahawanan tinggi,
sama ada pegawai kerajaan, eksekutif, pengurus dan lain-lain, tetapi mereka
tidak berniaga.
Keadaan ini tidak dapat mengatasi masalah dasar bidang keusahawanan, iaitu
melahirkan majikan. Walaupun mempunyai nilai keusahawanan yang tinggi, mereka
tetap bergantung kepada orang lain yang memberi pekerjaan kepada mereka. Kita
kerap menitikberatkan ‘nilai’ semata-mata.
Oleh itu, kita harus tegas dan jelas bahawa program ini untuk melahirkan
usahawan sebenar. Kita ambil contoh Institut Kemahiran Mara yang melatih ramai
graduan dalam bidang teknikal seperti automotif, penghawa dingin dan
sebagainya. Tetapi berapa ramai yang akhirnya membuka bengkel sendiri? Tidak
ramai.
Mereka lebih suka bekerja makan gaji. Penulis sendiri melihat ramai rakan
ketika di kampus, terbabit dengan kokurikulum keusahawanan, malah membuka
perniagaan di kampus menerusi program keusahawanan yang dianjurkan di
universiti, tetapi selepas menamatkan pengajian, mereka sama-sama beratur
dengan rakan lain mengisi borang memohon pekerjaan.
Di manakah silap semua ini? Perkara ini harus diberi perhatian oleh kerajaan,
terutama Kementerian Pengajian Tinggi dan semua agensi kerajaan yang berkaitan
seperti Mara. Penulis pernah mendengar seorang penceramah keusahawanan
menyatakan ‘keusahawanan adalah kerjaya bagus, selepas tamat pengajian, jika
gagal mendapatkan pekerjaan, jadilah usahawan’.
Sekali imbas kenyataan ini menggalakkan mahasiswa menjadi usahawan, tetapi
bidang itu dijadikan kerjaya pilihan kedua jika mereka gagal mendapatkan
pekerjaan.
Sebelum menggalakkan mahasiswa dan siswazah menjadi usahawan, mestilah terlebih
dulu dibangkitkan keyakinan kepada mereka bahawa kerjaya sebagai usahawan boleh
menjamin masa depan. Mereka harus ‘mengimani’ dengan sesungguhnya bahawa
keusahawanan itu adalah satu kerjaya. Mereka mestilah memilih kerjaya itu
kerana minat dan percaya, bukannya kerana satu opsyen disebabkan kurangnya
peluang pekerjaan lain.
Seseorang siswazah sebenarnya gagal dalam perniagaan kerana ada ijazah dan
diploma. Mengapa jadi begitu? Seorang usahawan siswazah membuka satu
perniagaan. Oleh kerana perniagaan itu baru lagi, maka jualan diperoleh amat
sedikit. Mungkin mereka mendapat untung RM500 atau RM800 sebulan. Kadangkala
mereka rugi. Keadaan ini mungkin berlarutan sehingga setahun. Lalu mereka
berfikir ‘jika aku bekerja aku boleh dapat RM3,000 sebulan tanpa
bersusah-payah.’ Lalu mereka berhenti dan bekerja dengan orang lain.
Oleh itu, banyak kita lihat usahawan siswazah yang berniaga separuh jalan.
Mereka takut dan tidak mahu mengambil risiko. Mereka kurang daya tahan dan daya
juang. Mereka ada ijazah dan diploma sebagai penyelamat. Golongan seperti ini
tidak layak menjadi usahawan.
Seorang usahawan sejati, apabila gagal, mereka akan berfikir perniagaan lain
yang boleh mereka lakukan untuk mendapat pendapatan. Tidak pernah ada dalam
kotak fikiran untuk mencari pekerjaan lain jika gagal.
Sebenarnya perkara paling menarik dalam ucapan Mohamed Khaled apabila beliau
menyentuh soal kurangnya sokongan moral keluarga dan masyarakat, terutama
kepada orang Melayu. Inilah masalah paling utama membelenggu usahawan dan bakal
usahawan siswazah dalam masyarakat Bumiputera. Bagi bukan Bumiputera, terutama
Cina, mereka tidak mempunyai halangan psikologi ini.
Perkara ini masih kurang diberi penekanan dalam apa-apa dasar atau program
keusahawanan sama ada kepada usahawan biasa atau lepasan graduan. Penulis
percaya Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang dirangka ini mengambil kira
masalah ini sebagai keutamaan. Sebenarnya halangan keluarga memainkan peranan
yang sangat besar dalam mencantas benih usahawan yang ada pada diri mahasiswa
dan siswazah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan