Melahirkan Usahawan Remaja
Saya ingin
mengalihkan perhatian kepada usaha kita melahirkan lebih ramai usahawan remaja,
berumur antara 18 hingga 25 tahun. Pada pandangan saya, ia boleh berjaya jika
dilatih secara hands on di sekolah. Kenapa saya katakan sekolah. Ia kerana ia adalah
institusi terbaik melahirkan bakat-bakat usahawan.
Perkara ini mempunyai kaitan
dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa
kajian mereka menunjukkan tidak sampai tiga peratus graduan IPTA menceburi
bidang perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian. Saya tidak perlu mengulas
situasi ini tetapi cukuplah kita simpulkan bahawa IPTA mempunyai pelbagai
kemudahan khusus untuk melatih usahawan di kalangan graduan. Biarlah mereka
sendiri menjawab keputusan segala usaha mereka.
Pada hemat saya, mungkin
agaknya proses melahirkan usahawan itu bermula dari sekolah ibarat kata pepatah
'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Bagi remaja Cina, mungkin rumah dan
keluarga mereka sudah terdedah dengan persekitaran perniagaan.Kini, remaja
berbangsa India juga tidak kurang berjinak-jinak dengan perniagaan sejak di
bangku sekolah lagi. Kita pasti sering melihat remaja India menunggang
motosikal memasarkan santan kelapa ke kedai-kedai. Walaupun masih di bangku
sekolah,mereka akan bercakap tentang impian satu hari nanti untuk menjadi
usahawan yang lebih berjaya.
Pendek kata, jika begitu
'tarbiyah' mereka, maka sudah pasti proses pembudayaan keusahawanan ini telah
berakar umbi dalam diri remaja Cina dan India. Maka tidak hairan pada hari ini,
seolah-olah sudah ada identiti perniagaan baru yang melibatkan remaja Cina
sebagai usahawan membaiki telefon bimbit dan aksesori berkaitan di merata
tempat. Manakala imej remaja India pula mengusahakan kedai gunting rambut. Cuba perhatikan di setiap
kawasan perumahan, mesti ada perniagaan kecil remaja Cina dan India yang
difahamkan disokong oleh gerakan ekonomi komuniti dan parti politik dua kaum
ini. Hal ini menjadikan kita tertanya-tanya di manakah identiti usahawan remaja
Melayu? Ke manakah agenda parti-parti politik serta pertubuhan ekonomi Melayu?
Tanpa mempersoalkan isu itu
semua, marilah kita membawa pendekatan baru iaitu azam untuk menjayakan misi
melahirkan ramai usahawan remaja Melayu yang bermula secara serius dan
terancang sejak di bangku sekolah. Satu tinjauan yang saya lakukan terhadap
usahawan remaja ini membuktikan bahawa mereka yang terdedah dengan aktiviti
keusahawanan di sekolah terutama mereka yang menguasai latihan vokasional
mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menjadi usahawan sebaik sahaja habis
persekolahan.Ini bermakna pendidikan dan tarbiyah di sekolah sangat berkesan
untuk membentuk generasi usahawan remaja ini.
Namun bagaimanakah caranya
untuk mengimbangi keperluan akademik dan pendidikan perniagaan secara
praktikal? Dalam masa yang sama juga mengurangkan beban guru dan kekangan di
sekolah? Jawapan terbaiknya adalah dengan menggunakan segala keupayaan sedia
ada tetapi dimaksimumkan fungsi dan aktivitinya. Saya melihat beberapa
aktiviti sekolah seperti koperasi sekolah, kelab usahawan, hari usahawan, kedai
buku, kantin dan macam-macam aktiviti taqwim sekolah sepatutnya menjadi
gelanggang usahawan pelajar sekolah.
Koperasi sekolah misalnya
telah melahirkan tokoh perniagaan yang tidak kurang hebatnya. Cuma skop
pendidikan koperasi hendaklah ditingkatkan untuk menambah aktiviti perniagaan
yang melibatkan pelajar. Jika sebelum ini, guru koperasi memainkan peranan
aktif menguruskan koperasi, maka berilah lebih banyak ruang untuk pelajar
terlibat dan cukuplah guru sebagai pembimbing sepenuhnya.
Koperasi mungkin boleh
menjadi medan jual beli keperluan warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat
setempat untuk menyokong pendidikan perniagaan secara amali di sekolah.
Manakala sekolah yang
mempunyai pelajar kurang cemerlang tetapi boleh ditonjolkan dengan aktiviti
vokasional boleh terlibat menggunakan kemudahan sekolah secara sistematik
menghasilkan produk seperti pemprosesan makanan. Selain dijual di sekolah,
mungkin pihak kantin, ibu bapa dan masyarakat setempat berminat menjadi
pelanggan.
Pernah seorang pengetua
memberitahu saya bahawa beliau agak pening dengan pelajar-pelajar yang tidak
berminat belajar tetapi berbakat berniaga mi goreng selepas waktu sekolah hanya
beberapa meter dari kawasan sekolahnya. Beliau berhasrat untuk mengajar masakan
supaya masalah disiplin dan keciciran mereka dapat dikurangkan tetapi sayang
sekolah mereka tidak mempunyai guru terlatih walaupun kemudahan memasak
tersebut ada. Katanya, dapur-dapur canggih itu tersimpan di setor sekolah.
Justeru, saya mencadangkan
supaya kerjasama dijalin dengan usahawan dari luar kerana hanya usahawan
memahami dunia keusahawanan yang sebenar. Perkongsian dan bimbingan usahawan
akan memantapkan proses pembinaan karakter usahawan.
Seperkara lagi, aktiviti
keusahawanan bukanlah semata-mata bermusim sekadar untuk suka-suka kerana
mengisi masa penghujung sesi persekolahan. Pada masa ini, aktiviti yang sering
kita dengar adalah hari kantin dan hari usahawan yang kadangkala sekadar
pelajar membawa barang jualan yang diserahkan kepada sekolah untuk dijual dan
hasil jualan selalunya didermakan terus sepenuhnya kepada sekolah. Kadangkala
untung rugi jualan tidak diketahui pelajar.
Oleh itu, pembudayaan
keusahawanan boleh dilaksanakan di sekolah secara lebih sistematik dan
berterusan. Proses sedemikian akan menarik minat dan menyerap dalam diri mereka
jika mereka dapat merasai setiap sen yang diniagakan. Walaupun kecil
keuntungannya, bakat dan titik peluh yang diberikan peluang oleh sekolah akan
memberi kepuasan kepada mereka sehingga menjadikan keusahawanan sebati dalam
diri mereka.
Kita mungkin tidak
menyasarkan ramai tetapi bayangkan jika setiap sekolah melahirkan 10 usahawan
remaja cemerlang setiap tahun. Setahu saya, ada beribu sekolah seluruh negara.
Akan terjadilah seperti seruan bekas Presiden Indonesia, Sukarno: "Berikan kepadaku 10
orang belia berilmu. Bukan sekadar rantau ini, bahkan seantero dunia bisa
kugegarkan!".
Itulah ibarat keupayaan
usahawan remaja Malaysia yang bakal menggegarkan dunia keusahawanan pada masa
depan.Siapa tahu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan